Wednesday, 19 May 2021

CELARU BAHASA

 

       Pada kali ini cikgu akan menerangkan mengenai apa itu kecelaruan bahasa pada kanak-kanak. Kelewatan atau kecelaruan penghasilan bahasa bermaksud kanak-kanak mempunyai masalah untuk menyampaikan mesej melalui pertuturan, tulisan, bahasa isyarat atau gerak tubuh. Mungkin ada sesetengah kanak-kanak yang agak lambat bercakap berbanding kanak-kanak sebaya sebelum umur 3 tahun tetapi berkembang dengan baik selepas itu. Mereka ini dikenali sebagai “late talker”. Tetapi ada kanak-kanak yang berterusan mempunyai masalah untuk menyampaikan mesej secara verbal akan di diagnosis untuk mengetahui samaada mempunyai masalah kelewatan atau kecelaruan bahasa penghasilan atau lain-lain masalah. Kanak-kanak dengan masalah penghasilan bahasa mempunyai kesukaran dengan aspek tatabahasa seperti menggunakan perkataan yang salah didalam ayat dan sukar untuk menyambung perkataan untuk membentuk frasa atau ayat yang panjang. Mereka lazimnya menghasilkan ayat yang pendek berbanding kanak-kanak sebaya dan bilangan kosa kata mereka juga lebih sedikit.


Tahukah anda kanak-kanak dengan masalah penghasilan bahasa biasanya mempunyai keupayaan yang lebih rendah dalam aspek yang dinyatakan dibawah iaitu:

A.    Menyambungkan perkataan dan ayat untuk menyampaikan mesej

B.    Mencari dan menggunakan perkataan yang sesuai dalam ayat

C.   Menggunakan bahasa yang bersesuaian mengikut situasi dan orang yang berbeza (contoh: di sekolah, di rumah, bersama guru atau ibu bapa)

Contoh yang lebih mudah ialah:

    Kanak-kanak 3 tahun yang bertutur menggunakan perkataan tunggal sahaja Kanak-kanak 6 tahun yang masih belum pandai menyambungkan ayat dengan menggunakan perkataan seperti “dan, tapi, kalau, sebab” dan sebagainya.

 

      Simptom kanak-kanak dengan masalah penghasilan bahasa spesifik mungkin berbeza dari satu kanak-kanak kepada kanak-kanak yang lain. Ianya juga bergantung kepada umur kanak-kanak dan juga tahap keburukan masalah itu. Simptom biasa yang ditunjukkan adalah seperti:

Kesalahan pada struktur ayat seperti menggunakan perkataan yang  salah (adik minum nasi) dan membuat ayat yang tidak lengkap (kucing ikan untuk kucing makan ikan)

1.    Menggunakan perkataan dan ayat yang kurang berbanding kanak-kanak sebaya

2.    Menggunakan ayat yang lebih pendek dan ringkas berbanding kanak-kanak sebaya

3.    Mempunyai kosa kata yang lebih asas dan sedikit berbanding kanak-kanak sebaya

4.    Sukar untuk mencari perkataan yang sesuai untuk digunakan

5.    Menggunakan perkataan yang tidak spesifik seperti “ni”, “tu”

6.    Bergantung kepada frasa yang standard dan kekurangan isi di dalam ayat

7. Mengulang semula apa yang di dengar atau ditutur oleh rakan berbual. Bercakap secara berulang-ulang dan berpusing-pusing tetapi tidak mencapai kesimpulan

Cikgu akan menerangkan mengenai satu masalah yang tergolong dalam kecelaruan bahasa iaitu disleksia. Adakah anda semua tahu apa itu disleksia? Mari cikgu bantu anda semua untuk memahami lebih lanjut maksud disleksia.

       Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud “kesukaran” lexis yang bermaksud “bahasa” secara literalnya, disleksia bermaksud “kesukaran dalam berbahasa” Kanak-kanak disleksia hanya mengalami gangguan dalam pembelajaran ketika peringkat kanak-kanak dan bukanlah sejenis penyakit. Kebiasaannya kanak-kanak disleksia mengalami gangguan membaca, menulis, mengeja, dan mengira walaupun mereka mempunyai pemikiran yang normal. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mendefinisikan murid yang mengalami masalah pembelajaran disleksia ialah murid yang mempunyai kecerdasan mental yang searas atau melebihi murid-murid biasa tetapi mempunyai kesukaran atau kelemahan yang tinggi dalam kemahiran mengeja, membaca, dan menulis.

       Seterusnya, mari kita pelajari jenis-jenis disleksia dan mengetahui ciri-ciri individu yang mempunyai masalah disleksia. Disini kita akan membincangkan dua jenis disleksia bersama ciri-cirinya.

1. Disgrafia

Disgrafia ialah kesukaran menyatakan apa yang ada dalam pemikiran ke dalam bentuk tulisan dan graf, yang merujuk kepada tulisan yang buruk. Ini menyebabkan pelajar menghadapi masalah penulisan kerana tidak boleh menterjemah pemaham,an bhasa ke dalam sistem simbol. Punca disgrafia adalah berpunca daripada demam panas, dan kelahiran pramatang.

Ciri-ciri individu Disgrafia:

a.    Tidak konsisten dalam pembentukan tulisan

b.    Penggunaan huruf besar dan huruf kecil masih bercampur

c.    Ukuran dan bentuk huruf yang tidak sama

d.    Memegang alat tulis terlalu dekat dengan kertas dan menekan pada kertas

e.    Bercakap-cakap semasa menulis

f.     Agak sukar menulis walaupun hanya menyalin

g.    Menulis secara terbalik (p,q,b,d)

h.    Masalah menyusun, mengatur dan memproses maklumat

i.     Ejaan salah (tutup-tutub, sabtu-saptu)

2.    Disleksia Visual

Merujuk kepada individu yang dapat melihat dengan baik tetapi tidak dapat membeuat perbezaan, interpretasi atau mengingati perkataan yang dilihat. Tahap terjejasnya bacaan terganggu pada masalah yang dihadapi.

Ciri-ciri individu Disleksia Visual:

a.    Kepayahan diskriminasi visual iaitu kekeliruan mengenal perkataan atau huruf yang sama (bas-pas,jam-jem)

b.    Kadar pengamatan yang lambat

c.    Cenderung menggunakan suku kata terbvalik (batu-tuba)

d.    Mutu tulisan yang rendah kerana meninggalkan banyak butiran penting pada benda-benda biasa.


Baiklah kita memasuki topik dimana terdapat faktor yang mempengaruhinya antaranya:

Untuk kebanyakan kanak-kanak, faktor masalah kecelaruan bahasa penghasilan adalah tidak diketahui. Kanak-kanak dengan masalah perkembangan bahasa  sahaja di diagnosis dengan kecelaruan bahasa spesifik. Selain itu, masalah penghasilan bahasa ini berkaitan dengan masalah-masalah yang lain seperti sindrom down, autism, masalah pendengaran dan sebagainya. Kanak-kanak dengan masalah ini biasanya mempunyai masalah dengan bahasa kefahaman (sukar memahami bahasa). Masalah kecelaruan bahasa penghasilan ini boleh terjadi semenjak dari lahir atau diperolehi yang disebabkan oleh trauma atau kecederaan. Ada juga sesetengah kes, masalah kecelaruan bahasa ini adalah berkaitan dengan faktor genetik (lebih dari seorang ahli keluarga yang berbeza generasi).

Hal yang berlaku boleh diselsesaikan melalui Diagnosis:

     Jika terdapat masalah-masalah seperti yang disenaraikan, bawalah anak anda berjumpa Speech Therapist berhampiran untuk penilaian dan diagnosis. Ianya penting untuk terapi dan rawatan yang seterusnya. Lebih awal diagnosis adalah lebih baik kerana usia muda adalah usia kritikal kanak-kanak untuk mempelajari  bahasa.

 

 RUJUKAN

Aishah Kasim (2015) Kenali simptom kelewatan dan kecelaruan bahasa penghasilan

https://aishahkassim.com/2015/02/12/kenali-simptom-kelewatankecelaruan-bahasa-penghasilan/

My Positive Parenting (2018) Masalah Pertuturan Dan Bahasa

https://mypositiveparenting.org/ms/2018/09/17/masalah-pertuturan-dan-bahasa/

Abdollah Salleh (2020) Diagnosis Celaru Bahasa

https://drdollah.com/penjagaan-pesakit-2/merumuskan-diagnosis/

Azizi Yahaya (2007) Psikologi abnormal : Kajian Psikologi,

http://eprints.utm.my/id/eprint/30030/1/AziziYahaya2007_PsikologiAbnormal.pdf

Persatuan Dyslexia Malaysia (2021) Apa itu Disleksia

http://www.dyslexiamalaysia.org/dyslexia/apa-itu-dyslexia

Aku Seorang disleksia (2013) wordpress Jenis-jenis disleksia

https://akuseorangdisleksia.wordpress.com/jenis-jenis-disleksia/


No comments:

Post a Comment