Wednesday, 19 May 2021

BAHASA KEDUA KITA

 

     Salam Sejahtera. Bertemu kita semula dalam topik pembelajaran kali ini iaitu proses pemerolehan bahasa kedua. Murid-murid pasti ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan pemerolehan bahasa kedua inikan. Oleh itu, cikgu Atika akan membantu dalam menerangkan setiap persoalan yang timbul mengenai penerangan topik pada kali ini. Dimana kita memasuki topik yang kedua yang bertajuk Pemerolehan bahasa kedua. 


        Untuk pengetahuan, bahasa yang dikuasai setelah seseorang manusia itu menguasai bahasa pertamanya adalah dipanggil sebagai bahasa kedua. Malahan hal ini bukan sahaja terhad kepada B2, tetapi juga boleh diaplikasikan kepada bahasa  ketiga, keempat dan seterusnya (Ellis, 1997). Perkara ini bertepatan dengan situasi dunia pada ketika ini yang  bersifat pelbagai bahasa dan bangsa yang memungkinkan seseorang itu untuk mempelajari sesuatu bahasa itu sebagai bahasa ketiga, keempat atau seterusnya.  

        Bagaimanakah pula bahasa kedua ini dapat kita pelajari? Cikgu atika akan terangkan dengan lebih lanjut. Penguasaan B2 selalunya diperoleh melalui  pembelajaran, bukannya pemerolehan. Proses ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal memerlukan banyak latihan dan pengulangan sehingga menjadi satu tabiat. Dalam senario dunia masa kini, hampir  sukar untuk kita menemui individu yang menguasai ekabahasa atau hanya menguasai satu bahasa sahaja.

        Mengapakah bahasa kedua ini sangat penting untuk kita pelajari? Murid-murid perlu Menguasai dan menggunakan B2 atau bahasa asing kerana ianya merupakan satu keperluan dalam abad ke-21, menjadikan bidang ini penting dan semakin  relevan sebagai memenuhi  tuntutan  zaman ini yang serba moden. Keperluan menguasai lebih daripada satu bahasa pula didorong oleh pelbagai faktor samada permintaan terhadap pasaran global yang memerlukan mahir bahasa asing atau kemahiran berbahasa untuk aspek pelancongan ataupun pemasaran. Hal ini, bergantung kepada tuntutan kehidupan individu itu sendiri. Disini cikgu sertakan serba serbi faktor terhadap persoalan kepentingan pembelajaran bahasa kedua ini. Antara faktor-faktor yang mendorong pembelajaran bahasa kedua ialah:

1. Seseorang itu mungkin berharap agar bahasa kedua  dapat memperkuatkan dirinya dalam masyarakat itu sendiri.

2. Belajar bahasa kedua kerana tuntutan peluang pekerjaan.

3. Belajar bahasa kedua kerana bahasa tersebut merupakan bahasa majoriti dalam  negara berkenaan.

4. Belajar bahasa kedua untuk mengenali sastera dan budaya bangsa lain.

5. Belajar bahasa kedua kerana tuntutan akademik atau sebagai bentuk latihan kognitif.

6. Kepentingan bahasa kedua tersebut dalam pendidikan, perhubungan antara individu.

7. Pengaruh ibu bapa di rumah yang banyak bertutur bahasa kedua untuk tujuan komunikasi.

8. Sikap pelajar terhadap bahasa kedua seperti menganggap bahasa kedua perlu dipelajari dan dikuasai untuk keperluan pendidikan dan pekerjaan.

9. Pertuturan antara kaum yang terpaksa dilakukan dengan menggunakan bahasa kedua

       Tadi cikgu Atika telah menerangkan faktor untuk kita mempelajari bahasa kedua ini. Sekarang kita akan mengetahui tentang masalahnya. Terdapat juga masalah dalam mempelajari bahasa kedua ini, iaitu pengaruh daripada bahasa pertama. Hal ini terjadi disebabkan penutur tidak menguasai dengan baik hukum-hukum yang terdapat pada pemerolehan bahasa pertama. Mengikut konteks bahasa melayu, unsure bahasa asing yang wujud ialah bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab dan sebagainya. Keadaan ini berlaku tanpa disedari oleh penutur itu sendiri. Menurut Victoria pada tahun 2003 beliau menjelaskan bahawa masalah pemerolehan bahasa kedua dalam kalangan kanak-kanak nyata dilihat apabila mereka menerapkan peraturan bahasa pertama dalam bahasa kedua. Secara amnya, berlaku pada awal perkembangan pemerolehan bahasa kedua iaitu semasa menterjemahkan daripada bahasa pertama kepada bahasa kedua. Contohnya,

 

Bahasa Pertama

Bahasa Kedua

Tolong buka jendela

Please open the window

Buka Kipas

Open the air condition


Contoh berikut telah jelas menunjukkan kepada kita bahawa peraturan dalam bahasa pertama tetap giat dalam pemikiran kanak-kanak disamping percubaannya untuk mengembangkan peraturan bahasa kedua oleh Asmah Omar, 1984.

       Pemerolehan bahasa ibunda berlaku dalam kalangan kanak-kanak secara tidak formal, iaitu tidak perlu diajar. Bahasa kedua harus dipelajari dan ianya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Terdapat perbezaan yang besar antara memperolehi bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua. Bahasa pertama dikuasai secara tidak formal. Bahasa pertama tidak perlu diajar dan kanak-kanak memperolehinya tanpa melakukan pembelajaran. Tetapi proses pemerolehan bahasa kedua dipelajari melalui rancangan dan kaedah tertentu. Dapat kita ketahui bahawa perkara yang penting dalam topik pembelajaran bahasa kedua itu ialah latihan. Hal ini demikian, hendaknya diketahui bahawa latihan itu hanyalah merupakan satu bahagian sahaja daripada seluruh proses menjadi dwibahasa.

       Latihan merangkumi latihan mendengar, pendedahan terhadap penggunaan bahasa itu, berfikir, bercakap sama ada dengan menggunakan satu bahan pengajaran yang tersusun rapi ataupun dengan menggunakan bahan yang dibentuk secara rambang. Tidaklah logik sekiranya ada bahasa yang dapat pelajari tanpa latihan. Banyak unsur-unsur lain yang terlibat. Latihan memanglah dapat membentuk lakuan. Walau bagaimanapun, ada kemungkinan bahawa lakuan juga dapat terbentuk di luar dari apa yang kita katakan latihan, tetapi contoh begitu sangat sukar didapati, iaitu mungkin melalui satu teori dan teknik pembelajaran yang baharu yang tidak dapat kita gambarkan di sini.

       Menurut Sthen Krashen (1982), pemerolehan bahasa merupakan proses yang natural, manakala pembelajaran bahasa merupakan proses yang dilakukan secara sedar. Dalam pembelajaran bahasa pertama, penutur mengambil bahagian dalam perbualan natural. Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua akan berlaku pembetulan kesalahan sebagai satu cara mempelajari peraturan tatabahasa bahasa tersebut, di samping sedikit sebanyak pengaruh daripada bahasa pertama. Menurut Abdullah Hassan (1987), sesetengah individu mempelajari bahasa kedua atau menjadi dwibahasa kerana mereka hidup dalam masyarakat berbilang bangsa.

RUJUKAN

Asmah Haji Omar (1981). “Bahasa dan Pendidikan Kanak-kanak” dalam Di sekitar Persoalan Bahasa Melayu 1957-1972, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Soenjono Dardjowidjojo (2007). Psikolinguistik (Pemerolehan bahasa) Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.

Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ) Mei 2017 Faktor pembelajaran bahasa dlam kalangan murid 

http://journalarticle.ukm.my/10415/1/135-260-1-SM.pdf

Zuraini Ramli (2018) Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa kedua e-jurnal

https://www.researchgate.net/publication/344899130_Zuraini_Ramli_-_Pengajaran_Bahasa_Melayu_Sebagai_Bahasa_Kedua

Universiti Teknologi Malaysia (2016) Faktor-faktor yang mempengaruhi Pembelajaran Bahasa Inggeris 

Faktor_Yang_Mempengaruhi_Pembelajaran_Menggunakan_Bahasa_Inggeris_Pelajar_Tahun_Satu_Fakulti_Pendidikan%2C_Universiti_Teknologi_Malaysia.pdf

No comments:

Post a Comment